Thursday, 13 November 2014

Etika Berkaitan Jenazah dan Takziah


Segera menguruskan jenazah dan mengebumikannya

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Segeralah (di dalam menguruskan) jenazah, sebab jika amalnya soleh, maka kebaikanlah yang kamu berikan kepadanya. Dan jika sebaliknya, maka keburukanlah yang dilepaskan dari bahu kamu.” (Muttafaq `alaih)

Tidak menangis dengan suara yang kuat dan tidak meratapinya

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukan daripada golongan kami mereka yang memukul-mukul pipinya dan merobek-robek bajunya, dan menyeru kepada seruan jahiliah.” (Riwayat al-Bukhari)

Disunatkan menghantar jenazah hingga ke kubur

Rasulullah bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang menghadiri jenazah hingga menyembahyangkannya, maka baginya (pahala) sebesar qirath. Dan sesiapa yang menghadirinya hingga dikuburkan, maka baginya dua qirath.” Nabi ditanya: “Apa qirath itu?” Baginda menjawab: “Seperti dua gunung yang sangat besar.” (Muttafaq `alaih)

Memuji si mati

Memuji si mati dengan mengingati dan menyebut-nyebut kebaikannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Janganlah kamu mencaci orang yang telah mati kerana mereka telah sampai kepada apa yang telah mereka perbuat.” (Riwayat al-Bukhari)

Memohon ampun untuk si mati

Pohonlah keampunan untuknya selepas pengebumian. Ibn Umar pernah berkata: “Adalah Rasulullah apabila selesai mengebumikan jenazah, maka Baginda berdiri di atasnya dan bersabda: ‘Mohonlah ampun untuk sadaramu ini, dan mintalah daripada Allah agar ia diberikan keteguhan kerana ia sekarang ditanya.’” (Riwayat Abu Daud)

Sunat menghiburkan keluarga yang berduka dan memberikan makanan kepada mereka

Mafhumnya sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Buatkanlah makanan kepada keluarga Ja’far kerana mereka ditimpa sesuatu yang membuatkan mereka sibuk.” (Riwayat Abu Daud)
Disunatkan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dan menyarankan mereka supaya bersabar.



0 comments:

Post a Comment