LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN SEMBAHYANG YANG KHUSYUK

22:30


Sembahyang orang kusyuk

Sembahyang orang khusyuk ialah sembahyang yang sepenuh ingatannya adalah pada Allah dan pada apa yang dibacanya dalam sembahyang. Orang ini dapat merasakan yang dia sedang mengadap Allah, maka perhatiannya hanya pada Allah, mengharap pada Allah, berdoa pada Allah, menghina diri pada Allah dan mengagungkan Allah. Sembahyang beginilah yang akan menghapuskan dosa, membaharui ikrar, menguatkan iman, mendekatkan hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah keuntungan di dunia dan di akhirat Allah anugerahkan pahala dan syurga yang penuh kenikmatan.

Sembahyang Para Nabi Dan Rasul

Sembahyang peringkat tertinggi iaitu sembahyang para Nabi dan Rasul. Mereka ini luar biasa khusyuknya. Mereka benar-benar Nampak Allah dengan mata hati, sebab itu sembahyang mereka seakan-akan berbual-bual dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu. Bagaimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya, begitulah indahnya perasaan mereka ini dalam sembahyang. Salah satu perkara yang paling disukai Rasulullah ialah sembahyang. “Sembahayang itu penyejuk mataku,” sabda baginda.

Jadi tugas kita sekarang memperbaiki sembahyang di samping membanyakkannya. Untuk itu kita mesti bermujahadah (melawan nafsu kita yang tidak mahu melakukannya). Dan hanya dengan mujahadahlah kita mungkin dapat mempertingkatkan iman dan membanyakkan amalan soleh. Dan hanya dengan iman dan amalan soleh sahajalah kita dapat membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat nanti.

Ada beberapa langkah perlu diambil sebagai usaha untuk mendapatkan sembahyang yang khusyuk. Di antaranya ialah:

1.      Mengetahui makna-makna bacaan dalam sembahyang dan menghafalnya.

Ramai umat Islam yang tahu membaca ayat-ayat dalam sembahyang dalam bahasa Arabnya tetapi tidak tahu apa maknanya. Dia seperti burung kakak tua yang mengajuk cakap orang tetapi tidak faham apa yang diperkatakannya. Apakah mungkin seseorang itu merasakan apa-apa dari sembahyangnya kalau dia tidak tahu apa yang diperkatakannya? Jika mengetahui makna-makna bacaan barulah fikiran dan hati tidak akan menerewang memikirkan perkara yang bukan-bukan sewaktu terkumat kamit membaca bacaan-bacaan di dalam sembahyang atau seumpamanya.

2.      Menjaga waktu sembahyang

Sembahyang itu sukar untuk dilakukan dengan kusyuk kalau dilakukan tanpa ketenangan lahir dan batin. Untuk memperoleh ketenangan, bersedialah untuk sembahyang beberapa minit sebelum masuk waktu. Sementara menunggu, berselawatlah atau bertafakur tentang hal-hal yang boleh memberikan kesedaran. Antaranya ialah mengenangkan nasib kita diakhirat nanti, mengenangkan segala dosa-dosa kita yang telah dibuat selama ini dan menyedarkan diri bahawa kita akan mengadap Allah S.W.T. yang Maha Agung, lebih agung daripada segala raja dan perdana menteri di dunia ini. Dia Maha mengetahui segala yang tersembunyi di dalam fikiran dan hati dan kita tidak boleh lari daripada-Nya. Oleh itu, kita perlulah membersihkan segala fikiran dan hati kita ketika hendak menyembah-Nya.

Kalau kita angkat takbir dalam keadaan yang kelam-kabut, fikiran dan hati kita susah untuk dibawa hadir bersama dalam sembahyang.

3.      Mengambil wuduk dengan rohnya

Selain dari memastikan yang anggota-anggota badan dibersihkan dengan sempurna, hati juga kenalah hadir sama ketika mengangkat wuduk. Ketika berkumur-kumur, kita mohon agar Allah s.w.t bersihkan mulut kita daripada dosa-dosa yang mulut kita telah lakukan seperti mengumpat, bercakap bohong, menghina orang dan sebagainya. Apabila membasuh muka, kita mohon Allah ampunkan segala dosa kita dan begitulah seterusnya. Mudah-mudahan terangkatlah sebahagian daripada dosa-dosa kita. Dosa-dosa yang menghitamkan hati itu akan menyebabkan kita sukar untuk kusyuk di dalam sembahyang.

4.      Bertafakur

Antara perkara-perkara yang perlu direnungkan sebelum mendirikan sembahyang ialah mengingatkan tentang besarnya makna sembahyang yang kita dirikan itu. Sembahyanglah satu-satunya waktu di mana hijab di antara kita dan Allah diangkat. Pada waktu itu kita betul-betul berdepan dengan Allah yang memiliki segala isi langit dan bumi. Kalaulah pada waktu sembahyang kita tidak dapat merasakan yang kita sedang melihat Allah, ataupun merasakan yang Allah melihat kita, sudah tentu pada waktu lain, hati kita akan lebih lalai lagi. Maka hadirkanlah sepenuh hati kita. Bukankah biadap kalau kita hamba yang sudah diberikan nikmat yang tidak terbilang, mengadap Tuhan kita sedemikian rupa. Bukan Allah yang kita ingat, tetapi ingat kerja kita, anak kita, suami atau isteri kita, atau lebih teruk lagi teman lelaki atau teman wanita kita dan sebagainya.

Kemudian ingatkan pula betapa sabarnya Allah kepada kita. Sudah berapa banyak sembahyang kita yang lalai, tetapi Allah masih panjangkan usia kita. Kalau bukan kerana kita umat Nabi Muhammad, mungkin sudah lama kita dimusnahkan dari muka bumi ini. Datangkanlah rasa malu dan menyesal kita, serta berazam untuk mempersembahkan sembahyang yang terbaik kali ini.

Ingatkan juga bahawa ajal kita mungkin datang selepas ini. Tidak siapa tahu bila dia akan mati. Entah-entah selepas sembahyang, manu tahu sedang sembahyang lagi Allah tarik nyawa kita. Apakah nasib kita kalau kita lalai dalam sembahyang? Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Neraka Wail untuk orang yang lalai dalam sembahyangnya”

5.      Membaca Istighfar

Sebelum mendirikan sembahyang, eloklah kita beristighfar banyak-banyak di atas apa-apa dosa yang telah kita lakukan. Kerana dosa-dosa boleh menjadi hijab di atas amalan-amalan kita. Maksud hijab ialah menjadi penghalang daripada sampainya amalan kita itu kepada Allah.

Apabila amalan kita tidak sampai kepada Allah S.W.T., sudah tentu ia tidak ada kesan pada hati kita. Walaupun banyak sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya, kita masih tidak berakhlak lagi, masih kasar lagi, masig sombong, kedekut dan lain-lain. Langsung tiada perubahan. Begitulah pentingnya kita ‘post-mortem’ diri kita setiap hari. Yang lebih sukar lagi ialah dosa-dosa kita terhadap manusia, terutama ibu bapa kita atau suami kita bagi isteri-isteri.

Elok juga dibaca “A’uzubillah” dari surah-surah empat Qul serta berdoa agar Allah jauhkan kita dan gangguan syaitan sewaktu sembahyang.

6.      Memahami kedudukan-kedudukan dalam sembahyang

Setiap perbuatan di dalam sembahyang itu ada maksudnya. Yang mana kalau kita faham, akan lebih khusyuk lagi sembahyang yang kita dirikan itu. Contohnya, seperti mengangkat Takbiratul Ihram. Apabila kita mengangkat takbir, kedua tapak tangan kita mengadap kiblat, menandakan kita benar-benar menghadap diri kita kepada Allah s.w.t. kemudaian belakang tapak tangan kita itu berksud kita meninggalkan segala persoalan dunia di belakang kita.

7.      Membaca dengan penuh faham dan ihsan

Ihsan itu ialah merasakan yang kita melihat Allah dengan mata hati, ataupun merasakan yang Allah itu melihat kita. Rasa ini penting untuk menimbulkan satu suasana bahawa kita ini benar-benar sedang berhadapan dan bercakap-cakap dengan Allah. Dengan demikian, kita akan membaca setiap bacaaan kita dengan penuh perasaan. Rasa ini dapat menambahkan iman.

8.      Kekalkan rasa kehambaan

Setelah selesai sembahyang, kita cepat-cepat istighfar kalau kita terleka di dalam sembahyang. Jikalau sembahyang itu dapat kita lakukan dengan kusyuk, kita banyak-banyak panjatkan syukur kepada Allah. Itu ialah pemberian-Nya jua. Kita tidak mungkin dapat melakukannya tanpa rahmat-Nya. Kalau kita rasa puas hati, rasa kitalah yang hebat, maka sia-sialah sembahyang kita itu. Pahala pun tiada, iman pun tidak meningkat.

9.      Jauhi makanan yang haram

Makanan yang haram akan menggelapkan hati. Apabila hati gelap susahlah untuknya menerima kabaikan. Susahlah untuk kusyuk di dalam sembahyang kerana syaitan bermaharajalela dan mengganggu hatinya.

Begitu juga dengan unsur-unsur pendapatan yang tidak halal seperti yang ada unsur riba atau daripada pekerjaan yang tidak menepati kehendak syariat.

Demikian di antara langkah-langkah yang perlu kita ambil supaya kita dapat dirikan sembahyang kita dengan penuh kusyuk. Moga-moga dengan ini, sembahyang kita akan diterima Allah dan tidak dicampakkan semula ke muka kita. Dan kalau kita bersembahyang sunat pula, ia benar-benar mendatangkan ganjaran serta dapat meningkatkan iman kita. Pendek kata, semoga segala penat lelah kita tidak sia-sia.




You Might Also Like

0 comments

Followers

Contact Form

Name

Email *

Message *