Mati Dalam Keadaan Jahat

By Tuesday, August 25, 2015

Ketahuilah bahawa yang boleh membawa kearah mati dalam kejahatan itu telah ditetapkan oleh Allah Taala dengan beberapa sebab.

Sumber: Google


Antaranya:

a.      Kasihkan kemuliaan dunia

Sebagaimana sabda Nabi (saw):

Ertinya: “Kasih kepada dunia itu kepala tiap-tiap kejahatan.”

Sabda Nabi (saw) lagi:

Ertinya: “Dunia ini dikutuk Allah Taala dan dikutuk apa-apa yang ada di dalamnya melainkan orang yang mengajar dan belajar kerana Allah Taala.”

Sabda Nabi lagi, mafhumnya:

“Allah Taala menurunkan laknat kepada bumi tiap-tiap hari sebanyak 150 laknat. 50 laknat kepada syaitan, 50 laknat kepada orang kafir dan 50 laknat lagi kepada orang yang mencari keduniaan.”

Hendaklah anda berfikir dengan semasak-masaknya tentang hadis Nabi tersebut. Dan insafkanlah diri anda itu kerana tidak dapat memperoleh kebaikan, melainkan dengan banyak berfikir tentang diri sendiri. Jika anda merenung diri anda itu, diri anda itu sebenarnya jahil. Oleh itu hendaklah anda menuntut ilmu atau bersahabat dengan orang alim supaya bertambah ilmu anda tentang diri anda yang sebenarnya. Bahkan anda tidak akan memperoleh kebaikan melainkan dengan menurut hadis Nabi (saw) mafhumnya:

“Sesiapa yang tidak mengikut Nabi (saw) tidak akan mendapat syafaat (pertolongan) Nabi di kemudian hari.”

b.     Takbur (cakap besar) –besar diri

Sebab kasihkan kemuliaan dunialah menyebabkan timbulnya kejahatan. Antaranya ialah takbur, iaitu besar diri. Larilah (hindarkan diri) daripada bersifat takbur iti seperti melarikan diri daripada harimau yang hendak membaham anda. Oleh sebab teramat besar bahayanya takbur itu, maka Nabi (saw) bersabda:

Ertinya: “Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sebarat zarah daripada takbur.”

Takbur ertinya memandangkan dirinya ada kelebihan daripada orang lain seperti dialah pemerintah, dialah hakim, dialah yang banyak ilmu atau dialah keturunan yang baik daripada orang lain atau dialah yang ternama.

Sikap seperti inilah membawa kea rah dosa yang paling besar terhadap orang yang mati dalam kejahatan.

Petua untuk melepaskan diri daripada bahaya takbur ialah:

- Jika anda menemui orang jahil dan fasik, maka katakanlah (beritahu) pada diri anda sendiri iaitu: “ Orang itu melakukan dosa kerana dia jahil, padahal aku ada ilmu kerana hajat Allah Taala yang begitu tinggi terhadap diriku, tergamak melakukan dosa. Maka tidak syak lagi, bahawa orang itu lebih baik (mulia) daripada aku.”

- Sekiranya anda ternampak kanak-kanak, maka katakanlah dalam hati anda, iaitu: “Kanak-kanak ini kalau melakukan dosa, tidak diseksa Allah Taala. Tetapi, kalau aku melakukan dosa, diseksa Allah Taala. Maka tidak syak lagi bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku.”

- Jika anda menemui orang alim, maka anda katakana dalam hati anda iaitu: “Orang ini dikurniakan Allah Taala ilmu, sedangkan aku tidak dikurniakan sepertinya. Maka tidak syak lagi bahawa orang alim ini lebih mulia daripada aku. Sepatutnya aku bersopan santun di hadapannya (merendah diri).”

- Sekiranya anda menemui orang tua, maka katakanlah dalam hati anda iaitu: “Orang ini lebih tua daripadaku, tentu ilmunya pun banyak daripadaku kerana dia banyak melihat dan mendengar. Maka tidak syak lagi bahawa orang tua ini lebih mulia daripada aku.”

- Kalau anda ternampak semua binatang, maka dalam hati anda katakan iaitu: “Binatang ini tidak berdosa, tidak diseksa Allah Taala. Sedangkan aku diseksa Allah Taala kerana melakukan dosa. Maka tidak syak lagi bahawa binatang ini lebih mulia daripda aku.”

Ketika itu juga anda akan tahu dan sedar bahawa diri anda itu tidak memiliki kemuliaan walau sezarah pun iaitu selepas anda merenung diri anda. Bahkan diri anda itu amat hina, serba kekurangan, bebal dan jahil daripada orang lain walaupun anda memiliki martabat yang tinggi, keturunan yang mulia, sangat alim dan bijak daripada orang lain. Sebagaimana sabda Nabi (saw):

Ertinya: “Aku penghulu anak Adam tidak bermegah-megah dan tidak besar diri.”

Fikirlah sendiri wahai orang yang berakal, sedangkan Nabi kita (saw) penghulu manusia, kekasih Tuhan sekalian alam tidak besar diri, betapa pula kita yang hina ini tidak wajar sama sekali melakukannya kerana sikap besar diri itu akan membawa kita kea rah mati dalam kejahatan ketika akhir kalam.

Ketahuilah bahawa takbur itu adalah sifat Tuhan kita. Sebagaimana firman Allah Taala:

Ertinya: “(Iaitu) tidak ada Tuhan elainkan Aku – (sesiapa yang bersikap takbur seolah-olah dia merampas pakai Tuhannya)”. (Surah Taha: ayat 14)

c.       Riyak (suka menunjuk-nunjuk)

Sesetengah daripada mati dalam kejahatan itu ialah melebihkan kasihnya kepada dunia menyebabkan timbulnya riyak. Ketahuilah wahai orang yang berakal, bahawa riyak itu merupakan dosa yang paling besar yang dinamakan syirik khafi yang mana amalannya tidak diterima Allah Taala kerana mengandungi amalan riyak.

Firman Allah Taala

Ertinya: “Tidak Aku suruh mereka itu melainkan menyembah Allah Taala padahal ia ikhlas baginya agama sebenar.” (Surah Al-Bayyinah: ayat 5)

d.      Bakhil (kedekut)

e.       Hasad dengki

Sesetengah yang membawa ke arah mati dalam kejahatan ialah orang yang bakhil iaitu kedekut dan orang yang suka hasad dengki iaitu orang yang tidak suka orang lain lebih daripada dirinya.

f.       Orang yang berkelakuan jahat

g.      Orang yang memandang ringan terhadap gurunya

Sebagaimana sabda Nabi (saw):

Ertinya: “Sesiapa yang meringankan gurunya, nescara diturunkan bala oleh Allah Taala kepadanya dengan tiga perkara:

-          Diberi kesempitan rezeki

-          Dilupakan ilmunya oleh Allah Taala

-          Allah Taala mengeluarkannya dari dunia ini dengan menanggalkan imannya. (Nauzubillah).”

Inilah saat-saat yang paling ditakuti ketika mati dalam keadaan jahat iaitu ditanggalkan iman oleh Allah Taala. Oleh sebab itulah, orang-orang yang soleh masa dahulu menangis kerana sangat takut imannya tanggal sewaktu mati.

Menurut Imam Ghazali rahimullahi Taala: “Aku melihat dalam mimpiku seolah-olah aku sudah mati. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga. Maka aku bertemu dengan tiga ratus orang Nabi. Aku bertanya kepada mereka. ‘Apakah yang paling ditakuti di dunia ini?’ Jawab mereka: ‘Yang paling ditakuti di dunia ini ialah tertanggalnya iman sewaktu hendak mati’.” Nauzubillah.

Fikirkanlah wahai orang yang berakal tentang perasaan takut yang dialami oleh orang siddiqin dan orang-orang arif padahal mereka paling kuat beribadat kepada Allah Taala. Bukan itu sahaja, bahkan mereka sangat kuat beriman kepada Allah Taala dan hati mereka amat takut terperangkap dengan kejahatan ketika hendak mati. Sampai begitu sekali hati mereka, inikan pula kita yang amat jahil dan lemah iman. Sesiapa yang tidak takut akan kesudahan mati, itulah orang yang tidak berakal langsung.

[Sumber: Pembukaan Segala Rahsia, As-Syeikh Mohd Salleh Bin Abdullah, Mengkabau (Q.S)]

You Might Also Like

0 Comments