Hindari Bencana Dengan Taubat

By Wednesday, March 22, 2017

Sumber: Google

Ditinjau dari sudut Islam (Al-Quran), segala bencana dan kesulitan yang menimpa sesuatu bangsa atau negara, baik kesulitan politik, ekonomi, social dan moral, atau bencana-bencana alam seperti banjir, letupan gunung berapi yang banyak membawa korban harta dan nyawa, atau wabak-wabak penyakit, bencana rasuah dan fitnah yang berhamburan, dan lain-lain, apabila dianalisa, pasti berpunca dari keingkaran manusia kepada Tuhan, kealpaan manusia terhadap Penciptanya.

Apalagi kalau kealpaan dan keingkaran itu meningkat, menjadi kesombongan, sombong terhadap sesame manusia, bahkan sombong terhadap Tuhan sendiri. Firman Allah:

“Sekiranya anak negeri (rakyat, penduduk) satu negara beriman dan bertakwa, sungguh Kami curahkan atas mereka barakah dari langit dan bumi. Saying mereka malah mendustakan ajaran Kami, kerananya Kami turunkanlah seksaan sebagai hasil perbuatan mereka sendiri. Adakah mereka merasa aman mendapatkan seksa yang Kami turunkan malam hari ketika mereka tidur? Dan apakah mereka merasa aman datang seksa Kami di waktu matahari naik sepenggalahan ketika mereka sedang bermain-main?” (Surah Al A’raf:96-98)

Apabila manusia sudah melampaui batas keingkaran dan kesombongannya, apakah kebaikannya manusia sebegitu diamankan, disenangkan dan dimakmurkan hidupnya?

Apabila diamankan, dibahagiakan dan dimakmurkan, mereka akan bertambah ingkar, jahat dan sombong, sehingga semua isi bumi ini menjadi celaka kerananya. Sebab itu memang baik apabila manusia yang ingkar, jahat dan sombongnya, ditimpakan dengan berbagai-bagai seksa, bencana dan kesulitan, agar mereka sedar dan kembali, sehingga mereka ingat dan beriman kepada Allah, bertaubat, meminta ampun dan mengakui dosa mereka masing-masing.

Suatu bangsa yang selalu memperhambakan diri dan menadahkan tangan meminta ampun dan bertaubat kepada Allah, tidak akan mengalami seksaan dan laknat Allah. Firman Allah:

“Tidaklah Allah akan menyeksa mereka selama engkau berada di tengah mereka, dan tidaklah Allah akan menyeksa mereka sedang mereka sama-sama meminta ampun.” (Surah Al Anfaat:33)

Untuk membebaskan negara dan bangsa kita dari berbagai-bagai bencana, kesulitan dan wabak, tidak cukup hanya dengan bekerja keras, gotong-royong dan pengetahuan seperti yang digembar-gemburkan, tetapi di samping itu, rakyat berserta pemimpin dan penguasa, mesti merendahkan diri di hadapan Tuhan, harus diajar membesarkan dan menghormati Allah, dididik agar patuh jangan sombong terhadap Allah, dengan beribadat, meminta ampun dan bertaubat.

Sejarah Nabi-nabi dan Rasul-rasul, ditambah dengan sejarah beratus-ratus bangsa dan negara yang sudah lenyap dan celaka, menjadi bukti atas kebenaran firman Allah tersebut.

Ingatlah sejarah kaum Nuh, bangsa Aad dan Tsamud dan banyak bangsa-bangsa besar yang telah lenyap ditimpa berbagai bencana: banjir, taufan, gempa bumi, letupan gunung berapi, perang dan serangan pengganas-pengganas yang kejam, atau malapetaka perang saudara yang terus menerus.

Marilah sentiasa kita ingat dan sedari, bahawa kita ini adalah hamba Allah, makhluk ciptaan Allah. Kita ada kerana dicipta oleh Allah, dibesarkan oleh Allah, disediakan oleh Allah dengan segala keperluan hidup seperti cahaya, hawa, makanan dan minuman. Kita dikayakan oleh Allah, disihatkan dan diberi kedudukan dan pangkat oleh Allah.

Kalau perlu kita paksa diri kita untuk menyedari hal ini, ertinya kalau kita membiarkan sahaja diri kita, kita akan lupa kepada Allah, lupa kepada diri sendiri yang akan mati dan kembali kepada Allah.

Apabila manusia sudah lupa kepada Allah, syaitan dan iblis akan bermaharajalela ke atas dirinya, sehingga dia akan menjadi jahat sejahat-jahatnya. Apabila manusia seperti ini berkuasa menjadi pemimpin bagi suatu negara atau bangsa, maka kejahatan akan berleluasa pada seluruh lapisan rakyat dan masyarakat.

Untuk menghindarkan itu semua, setiap manusia, lebih-lebih lagi para pemimpin dan penguasa harus lebih diperingatkan kepada Tuhan oleh ulama-ulama dan pendakwah. Ulama dan pendakwah yang membiarkan rakyat dan pemimpin hidup lupakan Tuhan, adalah ulama-ulama dan pendakwah-pendakwah yang jahat. Mereka lebih dahulu dimasukkan ke dalam neraka dari orang lain.

Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab r.a. pernah terjadi musim panas yang amat terik dan panjang, sehingga menjadi petaka dan bencana hebat. Umar berbincang dengan para sahabat dan akhirnya mengadu kepada Abbas bapa saudara Rasulullah S.A.W. Abbas mengatakan bahawa bencana tidak akan terjadi melainkan kerana dosa. Sebab itu dianjurkan agar kita seluruhnya, termasuk para pemimpin dan penguasa agar bertaubat dan meminta ampun kepada Allah dengan beribadat sebaik-baiknya dan bermunajat sekhusyuk-khusyuknya.

Memang bencana tidak dapat diatasi dengan ceramah-ceramah dan tindakan politik semata-mata, tidak dapat diatasi dengan kekuatan, kekuasaan dan senjata api, tetapi ianya dapat diatasi dengan taubat.

Kedua orang besar itu, seorang sebagai ketua negara (Khalifah Umar) dan seorang lagi sebagai Ulama (Abbas bin Abdul Muttalib) sepakat untuk menganjurkan kepada diri mereka masing-masing dan semua rakyat, kecil, besar, tua muda, untuk bertaubat, memperbaiki tingkah laku dan merendahkan diri. Lalu mereka dengan berpakaian compang-camping menuju ke kawasan terbuka, padang pasir yang terik. Mereka bertakbir, bertasbih, bertahmid dan bertahlil, membesarkan, memuja dan mensucikan Allah.

Akhirnya Saydina Abbas tampil di tengah-tengah mereka, menadahkan kedua tangan ke langit berdoa, satu doa yang amat masyhur:

“Ya Allah Tuhan kami, sesungguhnya tidak akan turun bencana kalua tidak kerana dosa, dan tidak akan lenyap bencana itu kalua tidak dengan taubat. Seluruh rakyat sudah mengadap muka kepadaMu dengan perantaraanku, kerana kedudukanku sebagai bapa saudara NabiMu. Dan inilah tangan-tangan kami yang penuh dosa kami bukakan kepada Engkau ya Allah, dan inilah pula kepada kami yang penuh dengan taubat, kami bentangkan kepada Engkau ya Allah. Maka berkenanlah Engkau ya Allah menurunkan hujan bagi kami.”

Sesudah doa tersebut  diucapkan oleh Abbas yang diiringi oleh seluruh lapisan rakyat dengan segenap perasaan dan permohonan, langit kelihatan hitam, di langit awan-awan tebal seakan-akan gunung yang berterbangan di udara dari segenap penjuru. Tidak lama kemudian hujan lebat pun turun. Bumi yang kering menjadi basah, hawa yang panas menjadi sejuk. Tanam-tanaman dan tubuh-tumbuhan menjadi hijau, binatang ternak membiak. Negara dan rakyat menjadi makmur, bala dan bencana lenyap entah ke mana perginya.

Ingati dan fahamkanlah sebaik-baiknya ucapan Abbas bapa saudara Rasulullah S.A.W. ini:

“Bahawa sesungguhnya setiap kesalahan dan dosa, yang dilakukan oleh rakyat dan pemimpin, para cendikiawan, para ulama dan kiyai yang terus-menerus akan menyebabkan datangnya bala dan bencana. Dan sesungguhnya bala dan bencana itu tidak akan hilang kalau orang-orang yang bersalah dan berdosa itu tidak bertaubat.”

Sebab itu marilah kita bertaubat, sekali lagi marilah kita bertaubat. Di sinilah letak rahsia kejayaan dan kemenangan yang dicapai Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat yang bagina tinggalkan sesudah baginda wafat. Bangsa Arab yang sedikit, di atas tanah negara yang tandus dan kering, tidak mempunyai faktor-faktor politik, ekonomi dan ketenteraan, menjadi satu bangsa yang bersatu, kuat dan maju, aman dan makmur di bawah pimpinan mereka, sehingga dalam masa yang singkat (kurang 6 tahun) dapat mengalahkan Parsi di Timur dan Rom di Barat. Kekuasaan dan peradaban serta kebudayaan yang mereka bawa dalam masa kurang seabad, berkembang ke timur sampai pinggir sungai Sind, dank e barat sehingga perbatasan Sepanyol dan Perancis sekarang ini.

Dengan iman dan takwa yang selalu di pupuk dengan segala ibadat dan taubat serta berdoa kepada Allah, akhlak mereka menjadi baik, persatuan mereka terjamin, pengetahuan mereka maju sehingga mereka menjadi contoh tauladan yang baik. Di sinilah letaknya rahsia kekuatan mereka yang dapat menguasai separuh permukaan bumi.

Tetapi 6 abad kemudian, mereka dihinggapi penyakit lupa Tuhan, ingkar dan sombong, sehingga kekuasaan mereka lenyap. Di sini pulalah letaknya rahsia kekacauan da bencana yang menimpa setiap rumah tangga, masyarakat bangsa dan negara dan dunia seluruhnya sekarang ini, kerana manusia dan pemimpin hanya pandai melakukan dosa dan kesalahan, tetapi tidak pandai dan tidak menyedari dosa kesalahan, sehingga mereka tidak meminta ampun dan bertaubat.

Maka dosa dan kesalahan yang tidak pernah diampunkan itu semakin menumpuk, menggunung tinggi, memenuhi setiap ruang di dataran tinggi dan rendah, memenuhi ruang antara bumi dan langit. Dosa dan kesalahan yang bukan hanya dilakukan oleh satu atau dua orang, tetapi dilakukan oleh beratus, beribu atau berjuta-juta manusia. Hairankah kita kalua bala, bencana dan seksaan Tuhan dating silih berganti dengan tiada putus-putusnya?

Ya Allah Tuhan kami. Kami bersalah dan aniaya terhadap diri kami. Kalau Engkau tidak memberi ampun dan taubat kepada kami, kami akan menjadi manusia yang rugi. Rugi dalam kehidupan sekarang, lebih rugi lagi dalam kehidupan di Akhirat nanti. Maka ampunkanlah kami dari seksa Neraka. Amin. 


Sumber: Mengenal Tuhan - Bey Arifin

You Might Also Like

0 Comments