PERISTIWA MENARIK SEMASA KELAHIRAN NABI MUHAMMAD
Pada Subuh hari kelahirannya, keadaan Mekah dan sekelilingnya ketika itu berada di dalam keadaan damai dan menenangkan jiwa. Angin yang bertiup sepoi-sepoi, keadaan alam ketika itu seolah-olah menyambut ketibaan tetamu agung yang tidak pernah dirasai oleh penduduk Mekah sebelum ini.
Kelahiran bayi ini disambut dengan sukacita oleh keluarga Bani Hasyim. Di negeri Parsi, kelahiran Muhammad bin Abdullah memadamkan api-api keramat kaum majusi di kuil-kuil yang selama seribu tahun tidak terpadam semenjak dihidupkan. Kelahiran Muhammad SAW juga menggoyangkan tiang-tiang utama istana Qisra Rumawi dan menyebabkan menaranya roboh. Muhammad SAW lahir dengan membawa panji-panji risalah terakhir dari Allah SWT untuk umat manusia.
Kita ketahui dari sejarah dan hadis bahawa ketika Nabi Muhammad SAW lahir, dinding-dinding istana Qisra retak dan menaranya roboh. Api di kuil-kuil penyembahan Parsi padam. Berhala-berhala yang memenuhi pelantaran Kaabah retak dan bergoncangan. Cahaya dari tubuh Muhammad SAW memancar naik ke langit dan menerangi semua tempat yang dilaluinya.
Anusyirwan dan pendeta-pendeta mendapat mimpi yang menakutkan. Ketika lahir, nabi kecil itu telah tersunat dan tali pusatnya pun sudah terpotong. Ketika lahir ke dunia, beliau berkata, “Allahu Akbar, Alhamdulillah. Dialah Allah yang harus disembah siang dan malam.”
Peristiwa yang mengawal kelahiran setiap nabi tidak ada yang terjadi secara kebetulan. Semua peristiwa itu berada dalam realiti dan perencanaan Allah SWT, khususnya yang berkenaan dengan kelahiran Muhammad SAW baik dalam kitab Taurat mahupun Injil.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran surah as-Shaff ayat 6 yang bermaksud;
“Dan ingatlah ketika Isa putera Maryam berkata, “Hai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah padamu, membenarkan apa yang sebelumnya dari Taurat pemberi khabar gembira dengan seorang rasul yang akan datang sesudahku namanya Ahmad.” Maka tatkala dia datang kepada mereka dengan keterangan-keterangan, mereka berkata, “Ini adalah sihir yang nyata.”
Dapatkan naskah Muhammad SAW Rasul Terakhir di sini ==>> Klik sini
0 Comments