GELARAN AL-AMIN, MASA MUDA MUHAMMAD SAW DAN RISALAH ILAHIAH

By Thursday, December 09, 2021

GELARAN AL-AMIN


Muhammad SAW membesar menjadi pemuda yang dikenali dengan kejujuran, sehingga beliau mendapat gelaran Al-Amin yang bererti orang yang dipercayai. Bagi masyarakat Kota Mekah, tidak ada orang yang boleh dipercayai lebih daripada Muhammad Al-Amin. 

Oleh kerana itu, ketika Abu Talib mencadangkan kepada Khadijah binti Khuwailid untuk menjadikan Muhammad SAW sebagai orang yang dipercayai dalam perniagaannya, cadangan itu diterima dengan serta merta. Pada usia 25 tahun, Muhammad SAW memulakan perjalanan untuk berniaga ke Syam dengan membawa barang dagangan milik Khadijah, wanita kaya di Kota Mekah yang amat disegani. 

Untuk memudahkan pekerjaan, Khadijah mengirimkan orang suruhannya bernama Maisarah untuk bersama dan membantu Muhammad SAW. Kesopanan pemuda bergelar Al-Amin ini, kejujuran dan kecerdikannya dalam berdagang menarik perhatian Maisarah. Perniagaan ini membawa keuntungan yang besar meskipun dalam berdagang, Muhammad SAW terlalu jujur. Seluruh kisah perjalanan ini diceritakan oleh Maisarah kepada Khadijah.


Sumber: Google


MASA MUDA MUHAMMAD SAW DAN RISALAH ILAHIAH


Sejak zaman kanak-kanak hingga mencecah usia dewasa, Muhammad SAW dikenali oleh masyarakat sebagai seorang yang memiliki keperibadian agung, jujur, bersopan santun, gemar menolong mereka yang memerlukan dan Baginda seorang yang berjiwa besar. Ketinggian akhlak Baginda membuatkan bangsa Arab kagum, khususnya suku kaum Quraisy di Mekah. Berbeza dengan para pemuda dan masyarakat di zaman itu, Muhammad tidak tertarik kepada kehidupan yang hanya mengejar kesenangan dunia. 

Putera Abdullah Bin Abdul Muttalib ini gemar menyendiri di lereng-lereng gunung atau di gua Hira’ untuk menghindari kehidupan syirik dan menyibukkan diri dengan beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT. Muhammad biasanya pergi ke gua Hira dengan membawa bekal dan akan turun ke kota jika bekalannya habis. Pergi ke gua Hira’, beruzlah dan bermunajat di tempat yang sepi itu seorang diri akhirnya menjadi kegiatan rutin pemuda bergelar Al-Amin ini. 

Di gua Hira’, Muhammad menemui ketenangan tersendiri yang dia tidak didapati di Mekah. Akhirnya, pada suatu hari ketika usianya mencecah 40 tahun, saat berada di dalam gua Hira’, Muhammad mendengar suara yang mengajaknya untuk membaca. Untuk pertama kalinya, Muhammad SAW menerima ayat yang diturunkan daripada Allah SWT, 

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” Surah Al-Alaq (ayat 1)

Ayat ini adalah yang pertama kalinya diturunkan kepada Muhammad SAW sebagai tanda kenabiannya. Tidak sedikit orang yang mempersoalkan mengenai agama Nabi Muhammad SAW sebelum menerima risalah kenabian, apatah lagi selepas Baginda dilantik menjadi rasul. Permasalahan mengusik hati ketika menyaksikan bahawa pada zaman Jahiliah, bangsa Arab khususnya di kota Mekah tempat Rasulullah SAW menjalani kehidupannya, adalah bangsa penyembah berhala. 

Setiap kelompok dan kabilah memiliki berhala tersendiri yang diletakkan di dalam Kaabah atau di kompleks Masjidilharam. Sementara setiap orang memiliki berhala yang khusus yang disimpan di rumah masing-masing atau di dalam beg khusus agar boleh dibawa ke mana-mana. 

Masalah inilah yang melahirkan pertanyaan mengenai agama yang dianuti oleh Muhammad SAW sebelum diangkat menjadi nabi. Masalah pada zaman Jahiliah dan penyembahan berhala yang dianuti oleh bangsa Arab secara umum, adalah fakta sejarah yang tidak mungkin ditolak. Namun harus diingat bahawa di jazirah Arab juga ada agama lain sebagaimana agama Nasrani, Yahudi dan agama Nabi Ibrahim AS (Hanif).

Penduduk Najran rata-rata beragama Nasrani, sementara di kota Yathrib (nama lain kota Madinah), terdapat beberapa kabilah yang menganut agama Yahudi. Selain dua agama itu, tidak sedikit pula yang menganut ajaran Nabi Ibrahim AS. Agama Nabi Ibrahim AS ini dianuti oleh sebahagian besar bani Hasyim. Bukankah ketika Abdul Muttalib menamakan anaknya dengan nama Abdullah yang bererti hamba Allah, menunjukkan bahawa Tuhan yang sebenarnya di mata Abdul Muttalib ialah Allah SWT, bukan selain-Nya. 

Ketika Allah SWT mengangkatnya menjadi nabi dan utusan Nya, Muhammad mengatakan kepada umat bahawa dia membawa ajaran Nabi Ibrahim. Seruan ini disebabkan umatnya hanya mengenal akan keberadaan ajaran yang demikian. Amalan ibadah seperti haji, umrah dan selainnya yang juga dianuti oleh bangsa Arab Jahiliah merupakan sisa-sisa ajaran Ibrahim AS yang terus dijalankan meskipun dengan cara yang berbeza dari ajaran sebenarnya. Semua ini menunjukkan bahawa tidak semua orang Arab pada zaman itu menyembah berhala. Jika hal ini boleh diterima, terdapat satu pertanyaan; 

Masuk akalkah, orang yang bakal membawa ajaran agama Ilahi yang paling sempurna, tetapi tidak mengikuti ajaran Ibrahim AS dan terjerumus ke dalam kesyirikan penyembahan berhala? 

Jika Muhammad SAW pernah menyembah berhala, tentunya ketika beliau menyeru kaum Quraisy dan bangsa Arab untuk meninggalkan berhala, mereka akan mengingatkan bahawa dia sendiri pernah menyembah berhala. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Sayidina Ali bin Abi Talib pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, Ya Rasulullah, apakah engkau pernah menyembah berhala?” Baginda menjawab, “Sama sekali tidak.” “Apakah engkau pernah meminum khamar (arak)?” Baginda juga menjawab, “Sama sekali tidak pernah.”

Dengan turunnya firman Ilahi kepadanya dan turunnya perintah untuk mengajak kaumnya kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Nabi Muhammad SAW menyampaikan misi mulia dan agung ini kepada sanak saudaranya. Orang yang pertama sekali menerima ajakan ini adalah Khadijah, isteri setia Rasulullah SAW dan Ali bin Abi Talib yang hidup dalam bimbingan dan asuhan Baginda. Ajakan dan seruan nabi ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan kepada keluarga terdekatnya. 

Proses dakwah secara sembunyi-sembunyi ini berlangsung selama tiga tahun, hingga akhirnya Allah SWT menurunkan ayat yang berisi perintah untuk dilakukan secara terbuka menyampaikan risalah Ilahi ini kepada umat. Dengan berdiri di atas sebuah bukit, Rasulullah SAW bertanya kepada kaumnya, “Wahai sekalian kaum Quraisy, jika aku katakan bahawa di belakang bukit ini ada pasukan musuh yang datang menyerang, apakah kamu semua akan mempercayai kata-kataku?” Mereka menjawab, “Ya! Pasti, sebab engkau adalah orang yang paling jujur.” 

Rasulullah SAW berkata lagi, “Jika demikian, ketahuilah bahawa aku membawa risalah dan ajaran dari Tuhan untuk kalian semua.” Rasulullah SAW menjelaskan risalah yang beliau pikul kepada kaum Quraisy. Akan tetapi berbeza dengan pernyataan awal mengenai kejujuran Muhammad Al-Amin, kali ini kaum Quraisy yang diketuai oleh pemimpin kafir seperti Abu Sufyan, Abu Jahal dan yang lainnya menuduh putera Abdullah ini telah membuat pembohongan besar. 

Sejak saat itulah, dakwah kepada agama Islam dilakukan secara terbuka. Seiring dengan sambutan orang-orang yang berhati bersih kepada ajaran ini, sikap penentangan dan permusuhan kaum kafir terhadap ajaran yang dibawa oleh Muhammad SAW ini juga semakin meningkat. Para pemimpin Quraisy yang merasa posisi dan kedudukan mereka terancam dengan adanya ajaran ini, serta-merta mengambil sikap benci terhadap Muhammad SAW, para pengikut dan ajarannya. Dengan memanfaatkan kedudukan, kewangan dan kekuatan, kaum kafir melakukan penyeksaan terhadap para pengikut ajaran Islam. 

Bilal bin Rabbah bekas hamba Umayyah bin Khalaf, juga Yasir dan isterinya Sumayyah dan anaknya Ammar adalah contoh dari kaum Muslimin lemah yang menjadi mangsa penyeksaan. Bahkan Sumayyah dan Yasir gugur syahid setelah melalui penyeksaan kaum kafir Quraisy yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan. Sementara Ammar terpaksa mengeluarkan kata-kata syirik dari mulutnya meskipun hatinya tetap memegang teguh keimanan. 

Gangguan kaum kafir Quraisy tidak hanya ditujukan kepada kaum Muslimin, tetapi juga kepada pemimpin dan nabi pembawa risalah, Muhammad bin Abdullah. Gangguan itu sedikit terhalang dengan sikap Abu Talib yang bermati-matian membela Muhammad SAW dan ajarannya. Bagaimanapun, Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati oleh kaum Quraisy di Mekah. Berkali-kali para pembesar Quraisy mendatangi Abu Talib agar menghentikan kerja dakwah Muhammad SAW yang mencela berhala dan mengajak masyarakat kepada Tuhan Yang Maha Esa. 

Walaupun demikian, Abu Talib tetap teguh dengan pendiriannya untuk membela Muhammad SAW dan ajarannya. Sikap Abu Talib ini telah menyemarakkan kemarahan para pembesar Quraisy yang lantas memutuskan untuk memboikot Bani Hasyim dan para pengikut ajaran Islam.

Dapatkan naskah Muhammad Rasul Terakhir di sini ==>> Muhammad Rasul Terakhir

You Might Also Like

0 Comments