Rasulullah SAW bersabda, “Allah tidak memberi kepadaku pengganti isteri yang lebih baik dari dia (Khadijah RA). Dia beriman kepadaku pada kala semua orang mengingkari kenabianku. Dia membenarkan kenabianku di kala semua orang mendustakan diriku. Dia membantu diriku dengan hartanya di kala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia, Allah SWT menganugerahi anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain.”
{Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdul Birr di dalam kitab Al-Isti’ab}
|
Sumber: Google |
Tujuh belas tahun tahun lamanya, Rasulullah SAW hidup bersama bapa saudaranya Abu Talib. Sering kali Rasulullah SAW sedih memikirkan bagaimana caranya agar dia tidak menyusahkan bapa saudaranya yang mempunyai keluarga besar.
Pada saat Rasulullah SAW sedang termenung, maka datanglah Abu Talib menghampiri beliau dan berkata, “Anakku, aku ini seorang yang tidak berharta, bertahun-tahun lamanya kita hidup menderita, kita tidak mempunyai barang dagangan apa pun yang dapat dijual dan tidak mempunyai harta untuk menampung keperluan seharian. Sekarang lihatlah, kaum Quraisy sedang bersiap sedia berangkat ke negeri Syam membawa barang-barang dagangan Khadijah binti Khuwailid. Jika engkau mahu pergi kepadanya untuk keperluan itu, tentu dia akan lebih mengutamakan dirimu daripada orang lain kerana dia sudah banyak mendengar khabar tentang kejujuran dan kesucian hatimu.
“Sebenarnya aku tidak suka engkau pergi ke negeri Syam kerana aku khuatirkan keselamatanmu di tengah-tengah orang Yahudi. Aku mendengar bahawa Khadijah sudah mempunyai seorang tenaga tambahan, aku tidak rela kalau dia memberi bahagian keuntungan kepadamu seperti yang diberikannya kepada orang itu! Setujukah engkau kalau persoalan ini ku sampaikan kepadanya?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Terserahlah yang mana terbaik olehmu.”
Maka tanpa berfikir dua kali, Abu Talib pergi menemui Khadijah dan meminta agar Muhammad SAW dijadikan salah satu pembantunya. Cadangan itu terus diterima oleh Khadijah dengan hati yang senang. Maka Muhammad SAW pun berangkat ke Syam dengan khafilah-khafilah yang lainnya. Khadijah pernah berjanji akan memberikan keuntungan yang lebih dua kali ganda kepada Muhammad SAW, sepulangnya Muhammad SAW dari Syam. Khadijah pun meminta Maisarah untuk menemani Muhammad SAW. Tetapi setibanya Muhammad SAW dan Maisarah di Abwa, Maisarah meninggalkan Muhammad SAW dan berpesan bahawa dia harus cepat-cepat menemui seseorang.
Ternyata orang yang akan ditemui itu adalah Khadijah. Maisarah ingin cepat-cepat menceritakan mengenai kejujuran ketika berdagang bersama Muhammad SAW dan cerita itu membuat Khadijah tertarik kepada Muhammad SAW.
Setibanya Muhammad SAW di Mekah, Baginda SAW melakukan tawaf di Kaabah dan setelah itu kembali semula kepada majikannya, Khadijah. Khadijah juga tidak sabar menanti kedatangan MuhammadSAW. Sewaktu Muhammad SAW bertemu Khadijah, Muhammad SAW mengucapkan terima kasih atas kepercayaan majikannya dan menyerahkan keuntungan serta barang-barang dagangan yang masih berbaki. Tanpa disedari pandangan Khadijah terhadap Muhammad SAW sangatlah tajam dan membuat Muhammad SAW malu tersipu-sipu. Tidak berapa lama kemudian, Muhammad SAW pun minta izin pulang untuk menemui bapa saudaranya Abu Talib.
Tidak terelak lagi oleh Khadijah perasaan cinta yang telah tumbuh subur, malah membungkam di hatinya terhadap Muhammad SAW. Pengalaman pahit dalam berkeluarga telah menjadikan Khadijah terjerat untuk memilih calon hidup yang tidak sesuai dengannya. Khadijah sudah dua kali berumah tangga, pertama dengan ‘Atiq bin ‘Aid bin ‘Abdullah Al-Makhzumy dan kedua bersama Abi Halah Hindun bin Zararah At-Tamimi. Keduanya adalah bangsawan Quraisy yang sangat terkenal.
Perasaan takut dan cemas menghantui Khadijah. Terfikir bahawa Muhammad SAW akan menolak cintanya terus bermain di fikirannya. Jarak umur yang sangat jauh juga menambah kerunsingan di hati Khadijah, di mana Khadijah sudah berumur 40 tahun dan Muhammad SAW baru berumur 25 tahun pada ketika itu. Ditambah pula oleh Khadijah, apakah tanggapan masyarakat sekitarnya mengenai hal ini.
Pada suatu hari, datanglah Nafisah binti Munayyah, sahabatnya yang rapat. Dicurahkan segala isi hati kepada Nafisah dan Nafisah pun mengerti serta menawarkan diri untuk menjadi penghubung antara Khadijah dan Muhammad SAW.
Setelah beberapa hari, Nafisah datang mengunjungi Muhammad SAW dan menanyakan kepada Baginda mengapa Baginda suka membujang? Pertanyaan Nafisah membuat Muhammad SAW menangis kerana teringatkan ibunya. Lalu Muhammad SAW bertanya kepada Nafisah, “Dengan apa aku dapat beristeri?” Kemudian Nafisah menjawab, “Jika anda dikehendaki oleh seorang wanita rupawan, hartawan dan bangsawan, apakah anda bersedia menerimanya?”
Mendengar apa yang dikatakan oleh Nafisah, Muhammad SAW terus merasai bahawa yang dimaksudkan oleh Nafisah itu adalah Khadijah. Nafisah pun meminta izin untuk pulang dan meninggalkan Muhammad SAW kebingungan sendiri.
Ketika fikirannya sedang bercampur aduk, Muhammad SAW pergi ke Kaabah untuk bertawaf. Di tengah jalan, beliau bertemu dengan seorang wanita tua yang terkenal sebagai tukang tilik dan wanita tua itu bertanya kepada Muhammad SAW,“Hai Muhammad, anda nampaknya baru saja melamar Khadijah!” Sangat terkejutlah Muhammad SAW mendengar pertanyaan wanita tua itu, lalu Muhammad SAW menjawab, “Tidak...” Kemudian wanita tua itu berkata, “Kenapa? Demi Allah, di kalangan Quraisy tidak ada perempuan yang merasa sepadan (kufu’) denganmu, walau Khadijah sekalipun!” Kemudian Muhammad SAW pun pergi meninggalkan wanita tua itu dengan senyuman.
Selang beberapa minggu selepas Nafisah bertemu Muhammad SAW, kedua bapa saudaranya, Abu Talib dan Hamzah datang ke rumah Khadijah. Khadijah turut juga mengundang beberapa orang dari pihak keluarganya.
Di dalam acara tersebut Abu Talib berkata, “Muhammad adalah seorang pemuda yang tidak ada tolok bandingnya dalam kalangan kaum Quraisy. Dia melebihi semua pemuda dalam hal kehormatan, kemuliaan, keutamaan dan kepintaran. Meskipun dia bukan orang kaya, namun kekayaan itu dapat lenyap sebab setiap pinjaman pasti akan diminta kembali. Dia mempunyai keinginan terhadap Khadijah binti Khuwailid, begitu pula sebaliknya...”
Sebagai wali dari Khadijah iaitu bapa saudaranya, ‘Amr bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qushaiy berkata, “Ku nikahkan Khadijah dengan Muhammad atas dasar mas kahwin bernilai 20 bakrah.” Maka rasmilah pernikahan Muhammad SAW dengan Khadijah.
Pernikahan Muhammad SAW dengan Khadijah menjadi buah bibir seluruh penduduk Kota Mekah. Keharmonian serta kerukunan yang didasarkan atas rasa kasih sayang dan saling menghormati menjadi teladan bagi segenap penduduk Mekah. Perkahwinan mereka dikurniakan Allah SWT, dua orang putera dan empat orang puteri. Takdir Allah menghendaki dua putera mereka iaitu Al Qasim dan Abdullah meninggal di usia kanak-kanak. Akan tetapi keempat-empat puteri mereka, Zainab RA, Ruqayyah RA, Ummu
Kaltsum RA dan Fatimah Az-Zahra RA menjadi penghibur bagi keluarga bahagia ini.
Setelah menanggung penderitaan sakit yang begitu lama, Khadijah dipanggil oleh Allah SWT ketika berumur 65 tahun. Sewaktu dalam keadaan sakit, Khadijah selalu ditemani oleh Rasulullah SAW. Perpisahannya dengan Khadijah membuat Rasulullah SAW berasa kehilangan orang yang sangat dikasihinya. Kesetiaan para sahabat-sahabat Baginda yang telah menenteramkan rasa sedih Baginda ketika itu.
Sewaktu Khadijah wafat, Islam telah berjaya disebarkan hingga ke negeri-negeri Arab sekitarnya, termasuk Habsyah (Ethiopia). Khadijah wafat pada bulan Ramadan dan dikebumikan di Ma’ala. Beliau wafat sebelum sempat menunaikan solat dan tiga hari sebelum kewafatan Abu Talib bapa saudara Rasulullah SAW. Pada tahun inilah yang dipanggil ‘Tahun Kesedihan’.
Meskipun Khadijah telah tiada, tapi dia tetap hidup di dalam hati Rasulullah SAW. Kecintaan Rasulullah SAW pada Khadijah tidak boleh ditandingi oleh isteri-isteri Baginda yang lain, yang mana mereka berusaha merebut hati Rasulullah SAW. Meskipun Aisyah RA merupakan isteri nabi yang paling muda, tercantik dan sempurna tapi dia sendiri tidak berjaya merebut keutuhan cinta Rasulullah SAW pada Khadijah.
Pernah terjadi, di mana saudara perempuan Khadijah iaitu Halah menemui keluarga Rasulullah SAW. Ketika Halah di depan rumah, Rasulullah SAW mendengar suara Halah yang sangat mirip dengan Khadijah. Seketika itu juga, nabi terkejut kerana disangkanya suara itu adalah suara Khadijah dan nabi pun menyapa dengan suara yang keras, “Ya Allah... Halah!”
Aisyah sering lupa untuk menguruskan dirinya, bila dia merasa cemburu terhadap Khadijah. Pada satu hari Aisyah berkata,
“Nenek-nenek dari Quraisy yang berpipi tembam dan gebu yang anda sebut itu, Allah sudah memberi penggantinya kepada anda yang lebih baik!”
{Riwayat Muslim}
Mendengar percakapan Aisyah, Rasulullah SAW berasa marah dan berkata, “Demi Allah, Allah tidak memberi kepadaku penggantinya yang lebih baik. Dia beriman kepadaku di kala semua orang mengingkari kenabianku. Dia membenarkan kenabianku sewaktu semua orang mendustakan diriku. Dia membantuku dengan hartanya di kala semua orang tidak menolongku. Melalui dia Allah menganugerahkan anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain!”
Khadijah merupakan isteri Rasulullah SAW dan termasuk empat wanita termulia sepanjang zaman. Nabi SAW sering kali menyatakan bahawa empat wanita itu adalah Maryam (puteri Imran), Asiah (Isteri Firaun), Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid RA dan Fatimah Az Zahra RA binti Muhammad SAW. Semoga Allah SWT menganugerahkan rahmat kepada Khadijah binti Khuwailid RA atas keimanan, jasa jasanya kepada Nabi SAW serta agama Allah SWT dan juga kepada seluruh umat Islam di dunia. Amiin yaa rabbal ‘aalamiin.
Dapatkan naskah Muhammad Rasul Terakhir di sini ==>> Muhammad Rasul Terakhir