LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN SEMBAHYANG YANG KHUSYUK
Sumber: Google |
Sembahyang orang kusyuk
Sembahyang orang khusyuk ialah
sembahyang yang sepenuh ingatannya adalah pada Allah dan pada apa yang
dibacanya dalam sembahyang. Orang ini dapat merasakan yang dia sedang mengadap
Allah, maka perhatiannya hanya pada Allah, mengharap pada Allah, berdoa pada
Allah, menghina diri pada Allah dan mengagungkan Allah. Sembahyang beginilah
yang akan menghapuskan dosa, membaharui ikrar, menguatkan iman, mendekatkan
hati pada Allah, meningkatkan taqwa dan mengelakkan hati pada Allah,
meningkatkan taqwa dan mengelakkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Itulah
keuntungan di dunia dan di akhirat Allah anugerahkan pahala dan syurga yang
penuh kenikmatan.
Sembahyang Para Nabi Dan Rasul
Sembahyang peringkat tertinggi
iaitu sembahyang para Nabi dan Rasul. Mereka ini luar biasa khusyuknya. Mereka
benar-benar Nampak Allah dengan mata hati, sebab itu sembahyang mereka
seakan-akan berbual-bual dengan Allah. Sebab itu mereka tidak pernah jemu.
Bagaimana indahnya perasaan hati orang yang bertemu kekasihnya, begitulah
indahnya perasaan mereka ini dalam sembahyang. Salah satu perkara yang paling
disukai Rasulullah ialah sembahyang. “Sembahayang itu penyejuk mataku,” sabda
baginda.
Jadi tugas kita sekarang
memperbaiki sembahyang di samping membanyakkannya. Untuk itu kita mesti
bermujahadah (melawan nafsu kita yang tidak mahu melakukannya). Dan hanya
dengan mujahadahlah kita mungkin dapat mempertingkatkan iman dan membanyakkan
amalan soleh. Dan hanya dengan iman dan amalan soleh sahajalah kita dapat
membina dan mencantikkan rumah kita di akhirat nanti.
Ada beberapa langkah perlu
diambil sebagai usaha untuk mendapatkan sembahyang yang khusyuk. Di antaranya
ialah:
1.
Mengetahui
makna-makna bacaan dalam sembahyang dan menghafalnya.
Ramai umat Islam yang tahu
membaca ayat-ayat dalam sembahyang dalam bahasa Arabnya tetapi tidak tahu apa
maknanya. Dia seperti burung kakak tua yang mengajuk cakap orang tetapi tidak
faham apa yang diperkatakannya. Apakah mungkin seseorang itu merasakan apa-apa
dari sembahyangnya kalau dia tidak tahu apa yang diperkatakannya? Jika
mengetahui makna-makna bacaan barulah fikiran dan hati tidak akan menerewang
memikirkan perkara yang bukan-bukan sewaktu terkumat kamit membaca bacaan-bacaan
di dalam sembahyang atau seumpamanya.
2.
Menjaga
waktu sembahyang
Sembahyang itu sukar untuk
dilakukan dengan kusyuk kalau dilakukan tanpa ketenangan lahir dan batin. Untuk
memperoleh ketenangan, bersedialah untuk sembahyang beberapa minit sebelum
masuk waktu. Sementara menunggu, berselawatlah atau bertafakur tentang hal-hal
yang boleh memberikan kesedaran. Antaranya ialah mengenangkan nasib kita
diakhirat nanti, mengenangkan segala dosa-dosa kita yang telah dibuat selama
ini dan menyedarkan diri bahawa kita akan mengadap Allah S.W.T. yang Maha
Agung, lebih agung daripada segala raja dan perdana menteri di dunia ini. Dia
Maha mengetahui segala yang tersembunyi di dalam fikiran dan hati dan kita
tidak boleh lari daripada-Nya. Oleh itu, kita perlulah membersihkan segala
fikiran dan hati kita ketika hendak menyembah-Nya.
Kalau kita angkat takbir dalam
keadaan yang kelam-kabut, fikiran dan hati kita susah untuk dibawa hadir
bersama dalam sembahyang.
3.
Mengambil
wuduk dengan rohnya
Selain dari memastikan yang
anggota-anggota badan dibersihkan dengan sempurna, hati juga kenalah hadir sama
ketika mengangkat wuduk. Ketika berkumur-kumur, kita mohon agar Allah s.w.t
bersihkan mulut kita daripada dosa-dosa yang mulut kita telah lakukan seperti
mengumpat, bercakap bohong, menghina orang dan sebagainya. Apabila membasuh
muka, kita mohon Allah ampunkan segala dosa kita dan begitulah seterusnya.
Mudah-mudahan terangkatlah sebahagian daripada dosa-dosa kita. Dosa-dosa yang
menghitamkan hati itu akan menyebabkan kita sukar untuk kusyuk di dalam
sembahyang.
4.
Bertafakur
Antara perkara-perkara yang perlu
direnungkan sebelum mendirikan sembahyang ialah mengingatkan tentang besarnya
makna sembahyang yang kita dirikan itu. Sembahyanglah satu-satunya waktu di
mana hijab di antara kita dan Allah diangkat. Pada waktu itu kita betul-betul
berdepan dengan Allah yang memiliki segala isi langit dan bumi. Kalaulah pada
waktu sembahyang kita tidak dapat merasakan yang kita sedang melihat Allah,
ataupun merasakan yang Allah melihat kita, sudah tentu pada waktu lain, hati
kita akan lebih lalai lagi. Maka hadirkanlah sepenuh hati kita. Bukankah biadap
kalau kita hamba yang sudah diberikan nikmat yang tidak terbilang, mengadap
Tuhan kita sedemikian rupa. Bukan Allah yang kita ingat, tetapi ingat kerja
kita, anak kita, suami atau isteri kita, atau lebih teruk lagi teman lelaki
atau teman wanita kita dan sebagainya.
Kemudian ingatkan pula betapa
sabarnya Allah kepada kita. Sudah berapa banyak sembahyang kita yang lalai,
tetapi Allah masih panjangkan usia kita. Kalau bukan kerana kita umat Nabi Muhammad,
mungkin sudah lama kita dimusnahkan dari muka bumi ini. Datangkanlah rasa malu
dan menyesal kita, serta berazam untuk mempersembahkan sembahyang yang terbaik
kali ini.
Ingatkan juga bahawa ajal kita
mungkin datang selepas ini. Tidak siapa tahu bila dia akan mati. Entah-entah
selepas sembahyang, manu tahu sedang sembahyang lagi Allah tarik nyawa kita.
Apakah nasib kita kalau kita lalai dalam sembahyang? Bukankah Allah telah berfirman
yang bermaksud:
“Neraka Wail untuk orang yang lalai dalam sembahyangnya”
5.
Membaca
Istighfar
Sebelum mendirikan sembahyang,
eloklah kita beristighfar banyak-banyak di atas apa-apa dosa yang telah kita
lakukan. Kerana dosa-dosa boleh menjadi hijab di atas amalan-amalan kita.
Maksud hijab ialah menjadi penghalang daripada sampainya amalan kita itu kepada
Allah.
Apabila amalan kita tidak sampai
kepada Allah S.W.T., sudah tentu ia tidak ada kesan pada hati kita. Walaupun
banyak sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya, kita masih tidak berakhlak
lagi, masih kasar lagi, masig sombong, kedekut dan lain-lain. Langsung tiada
perubahan. Begitulah pentingnya kita ‘post-mortem’ diri kita setiap hari. Yang
lebih sukar lagi ialah dosa-dosa kita terhadap manusia, terutama ibu bapa kita
atau suami kita bagi isteri-isteri.
Elok juga dibaca “A’uzubillah”
dari surah-surah empat Qul serta berdoa agar Allah jauhkan kita dan gangguan
syaitan sewaktu sembahyang.
6.
Memahami
kedudukan-kedudukan dalam sembahyang
Setiap perbuatan di dalam
sembahyang itu ada maksudnya. Yang mana kalau kita faham, akan lebih khusyuk lagi
sembahyang yang kita dirikan itu. Contohnya, seperti mengangkat Takbiratul
Ihram. Apabila kita mengangkat takbir, kedua tapak tangan kita mengadap kiblat,
menandakan kita benar-benar menghadap diri kita kepada Allah s.w.t. kemudaian
belakang tapak tangan kita itu berksud kita meninggalkan segala persoalan dunia
di belakang kita.
7.
Membaca
dengan penuh faham dan ihsan
Ihsan itu ialah merasakan yang
kita melihat Allah dengan mata hati, ataupun merasakan yang Allah itu melihat
kita. Rasa ini penting untuk menimbulkan satu suasana bahawa kita ini
benar-benar sedang berhadapan dan bercakap-cakap dengan Allah. Dengan demikian,
kita akan membaca setiap bacaaan kita dengan penuh perasaan. Rasa ini dapat
menambahkan iman.
8.
Kekalkan
rasa kehambaan
Setelah selesai sembahyang, kita
cepat-cepat istighfar kalau kita terleka di dalam sembahyang. Jikalau
sembahyang itu dapat kita lakukan dengan kusyuk, kita banyak-banyak panjatkan
syukur kepada Allah. Itu ialah pemberian-Nya jua. Kita tidak mungkin dapat
melakukannya tanpa rahmat-Nya. Kalau kita rasa puas hati, rasa kitalah yang
hebat, maka sia-sialah sembahyang kita itu. Pahala pun tiada, iman pun tidak
meningkat.
9.
Jauhi
makanan yang haram
Makanan yang haram akan
menggelapkan hati. Apabila hati gelap susahlah untuknya menerima kabaikan.
Susahlah untuk kusyuk di dalam sembahyang kerana syaitan bermaharajalela dan
mengganggu hatinya.
Begitu juga dengan unsur-unsur
pendapatan yang tidak halal seperti yang ada unsur riba atau daripada pekerjaan
yang tidak menepati kehendak syariat.
Demikian di antara
langkah-langkah yang perlu kita ambil supaya kita dapat dirikan sembahyang kita
dengan penuh kusyuk. Moga-moga dengan ini, sembahyang kita akan diterima Allah
dan tidak dicampakkan semula ke muka kita. Dan kalau kita bersembahyang sunat
pula, ia benar-benar mendatangkan ganjaran serta dapat meningkatkan iman kita.
Pendek kata, semoga segala penat lelah kita tidak sia-sia.
0 Comments