Mencari Hidayah Allah

By Thursday, April 22, 2021

Sumber: Google

 Imam Syafie memberi wasiat sebagai berikut:

Allah SWT menjanjikan kepada orang-orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana firman-Nya:


"Sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus."


Lima Perkara Untuk Mendapatkan Hidayah

Untuk memperolehi hidayah atau petunjuk Allah SWT, eloklah kita mengingat 5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk meberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini agar kita tetap berada di jalan yang lurus di mana kita akan memperolehi hidayah atau petunjukNya, iaitu;


1. Perbanyakkan Menyebut Allah


Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.

Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.


2. Perbanyakkan Menyebut Akhirat


Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia. Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 dari nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan dunia hingga terlupa akhirat.

Manuisa yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merundum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.


3. Perbanyakkan Menyebut dan Mengingati Kematian


Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana.

Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yag kerdil dan bergelumang dengan dosa?


4. Jangan Menyebut-nyebut Kebaikan Diri dan Keluarga


Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masayarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macaam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub.

Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dasyat lagi jika menimbulkan riyak atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (riyak) tidak akan mencium bau syurga. Riyak adalah satu unsur dari syirk (khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.


5. Jangan Sebut-sebut Keaiban Orang


Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut keasalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'.

Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah orang itu tapi 4 lagi jari menunding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang iu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya.

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dlam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pda dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.


Tujuh Golongan Yang Mendapat Hidayah dan Perlindungan


Rasulullah SAW menyebutkan ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari Kiamat yakni hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNya, yakni;


1. Pemimpin yang adil.

2. Pemuda yang masa hidupnya digunakan untuk beribadat kepada Allah.

3. Orang yang hatinya selalu terikat di masjid.

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya.

5. Lelaki yang diajak berbuat maksiat oleh wanita bangsawan lagi cantik, tetapi dia menolak dan berkata, "Saya takut kepada Allah."

6. Orang yang bersedekah seara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.

7. Orang yang selalu berzikir pada waktu menyendiri sampai mencucurkan air mata." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Amru bin Jumuh ra bahawa Rasulullah SAW bersabda;

"Seorang hamba tidak akan mendapat keimanan yang benar sehingga ia cinta dan benci kerana Allah. Jika ia cinta dan benci kerana Allah ia berhak mendapat perlindunganNya." (Riwayat Ahmad dan At Tabrani).

Sumber: 30 Wasiat Imam Syafie

You Might Also Like

0 Comments