MENARIK TENTANG ZAMAN KANAK-KANAK RASULULLAH SAW

By Thursday, November 11, 2021

Sumber: Google


Selepas dilahirkan, Baginda telah dibawa ke pendalaman Bani Sa’ad kerana sudah menjadi tradisi orang-orang Arab akan menghantar anaknya untuk disusukan. Baginda diserahkan kepada seorang perempuan yang bernama Halimah binti Abu Dzu’aib. Semasa Baginda SAW dibawa ke kaum Bani Sa’ad, waktu itu kemarau sedang melanda menyebabkan ladang pertanian dan ternakan menjadi kering. Tidak lama selepas Baginda menyusu di situ dan tinggal bersama Halimah, maka tanaman kembali menghijau, kambing-kambing pulang ke kandang dengan perut kenyang dan sarat dengan susu.

Semasa berusia 12 tahun, Baginda SAW mengikut bapa saudaranya pergi berniaga ke Syam. Baginda dan rombongan perniagaan dari Mekah bertemu seorang rahib Nasrani yang digelar Buhairah kerana ilmu yang sangat luas. Nama sebenar rahib itu ialah Gergios atau setengah pendapat mengatakan Gergies. Dia pernah memegang jawatan Patriach (Ketua Paderi) di Kostantinopel di bawah pemerintahan Rom. Suatu hari Rahib Buhaira melabuhkan punggungnya sambil bersandar. Dia melepaskan pandangan yang jauh ke tengah tengah padang pasir. Entah kenapa tiba-tiba dadanya berdebar kencang. Tiba-tiba kelihatan di kejauhan kepul-kepul debu padang pasir menandakan ada sekumpulan pedagang menghampiri biaranya. Namun sekali lagi dadanya kembali berdebar. Dengan sabar dia menunggu ketibaan rombongan tersebut. Sedang asyik dia menanti, terlihat olehnya ada satu keganjilan berlaku. Rahib tersebut berasa tidak puas hati dan naik ke tempat yang tinggi untuk mengamati keganjilan yang sedang dilihatnya. 

Satu keajaiban yang berlaku ialah dia dapat melihat ada setompok awan nipis mengiringi rombongan dan memayungi seseorang dari panas mentari seraya berkata, “Ya, Allah! Inilah salah satu tanda dari tandanya. Dia pasti bersama-sama rombongan ini.” 

Lalu rahib tersebut terus mempelawa rombongan pedagang dari tanah Arab itu singgah berehat di biaranya dan menghidangkan jamuan yang lazat. Walaupun kebiasaannya rahib tersebut tidak pernah mempedulikan rombongan pedagang yang sering lalu di hadapan biaranya, namun kali ini dia berbuat demikian. 

Rahib diperkenalkan dengan ketua rombongan iaitu Abu Talib dan mempelawa semua rombongan masuk sambil kedua bebola matanya mencari kanak-kanak tadi lalu bertanya kepada Abu Talib, “Ada lagi ke yang tidak naik?” “Ada, seorang kanak-kanak. Dia menjaga barang dagangan di bawah.” Jawab Abu Talib. “Ajak dia ke mari.” Suruh Buhairah. 

Sepanjang masa, matanya tidak terlepas dari melihat kanak kanak itu dan cuba melontarkan soalan menguji. “Anak! Dengan nama Lata dan Uzza pak cik ingin bertanya,” serta merta soalannya mendapat tindak balas. Kanak-kanak itu merasa kurang senang dengan nama Lata dan Uzza. “Saya benci dengan nama Lata dan Uzza.” Apabila beliau bertanya dengan nama Allah SWT barulah kali ini kanak-kanak itu tersenyum. “Siapa namamu?” tanya Buhairah. Baginda SAW menjawab, “Muhammad.” Buhairah bertanya lagi, “Ayahmu?” jawab Baginda SAW “Abdullah.” Soalan terakhir Buhairah, “Ibumu?” Dengan tenang Baginda SAW menjawab, “Aminah.” Setelah itu barulah Rahib Buhairah bertanyakan tentang kehidupan seharian kanak-kanak itu. 

Buhairah dia tidak dapat mengawal perasaannya tatkala melihat tanda seperti bekas bekam di tengah-tengah belikat kanak-kanak itu. Tanda sebesar telur burung merpati ditumbuhi bulu-bulu halus di sekelilingnya. Mahu saja dia memeluk kanak kanak itu sepuas-puasnya. 

Buhairah mendekati Abu Talib seraya membisikkan beberapa soalan, “Apa hubungan kamu dengan kanak-kanak itu?” “Oh! Dia anakku.” “Tak mungkin kedua-dua ibu bapanya masih hidup,” tanya Buhairah. “Dia anak saudaraku,” jawab Abu Talib. “Ibu bapanya di mana?” “Bapanya meninggal dunia sewaktu dia di dalam kandungan ibunya dan ibunya meninggal ketika perjalanan ke Yathrib. Muhammad dipelihara oleh datuknya, dua tahun kemudian datuknya pula meninggal. Kini aku yang memeliharanya,” jelas Abu Talib. Lalu Buhairah berkata “Benar! Beginilah yang aku tahu. Tapi sebaiknya kamu bawa sahaja dia pulang kerana kalau orang-orang Yahudi menemuinya, pasti mereka tidak akan melepaskan Muhammad SAW Rasul Terakhirnya,” dengan nada kebimbangan. 

Bangsa Arab pada zaman dahulu kebiasaannya menjadikan kejadian besar yang ada sebagai kesan peninggalan. Peristiwa penyerangan pasukan Gajah pimpinan Abrahah yang berniat menghancurkan Kaabah di kota Mekah, dianggap sebagai sebuah peristiwa besar yang layak dijadikan kesan peninggalan. Pada tahun pertama peninggalan penyerangan pasukan Gajah di kota Mekah dan di tengah keluarga Abdul Muttalib, telah lahir seorang bayi yang kelak akan mengubah perjalanan sejarah manusia. Dialah Muhammad SAW putera Abdullah bin Abdul Muttalib. 

Ketika sebelum kenabian, telah disebut zaman Jahiliah. Perkataan Jahiliah diambil dari perkataan Arab ‘jahl’ yang bererti bodoh. Dengan demikian, zaman Jahiliah bererti zaman kebodohan. Memang, bangsa Arab pada zaman itu layak mendapat sebutan ini kerana selain tidak pandai membaca dan menulis, bangsa yang hidup di jazirah Arab ini juga memiliki kebiasaan dan perilaku yang bodoh. 

Mereka menjadikan berhala-berhala buatan sendiri sebagai tuhan yang disembah dan dipuja, menanam anak perempuan hidup hidup dan bertawaf mengelilingi Kaabah dengan cara bertelanjang. Muhammad SAW lahir untuk mengikis kebodohan bangsa Arab dan umat manusia secara umum dengan cahaya iman dan ilmu. 

Sejak lahir, Muhammad SAW telah menunjukkan kelebihan yang khusus. Permulaan kehidupannya dimulai dengan keadaan yatim kerana ayahnya telah meninggal dunia sebelum Baginda dilahirkan. Hidup Baginda SAW penuh dengan kesusahan dan kesusahan inilah yang menimpa diri Baginda SAW serta mempersiapkannya untuk menjadi manusia agung dan penghulu bagi seluruh umat sepanjang zaman. 

Empat tahun lamanya, Baginda SAW hidup terpisah dari ibunya, Aminah binti Wahab dan tinggal di tengah-tengah keluarga Halimatus-sa’diah. Setelah berumur empat tahun dengan berat hati, Halimatus-sa’diah menyerahkan Muhammad SAW semula kepada ibunya.


Boleh dapatkan naskah Muhammad SAW Rasul Terakhir di ==>> Bookunia

You Might Also Like

0 Comments