Kelebihan Ilmu Yang Memberi Manfaat
Kelebihan ilmu yang memberi manfaat itu banyak disebut dalam Al-Quran dan Hadis.
Dan sesetengah daripadanya itu firman Allah SWT:
Mengangkat Allah SWT akan mereka yang percaya dengan Allah SWT daripada kamu dan mereka yang diberi ilmu akan beberap pangkat yang tinggi. (Al-Mujadala 58:11)
Kata Sayidina Abdullah bin Abbas radhiyallahu anhuma:
Bagi ulama itu ada beberap pangkat di atas pangkat Mukmin lainnya dengan 700 pangkat, yang antara tiap-tiap dua pangkat itu perjalanannya 500 tahun.
Firman Allah SWT:
Hanyasanya yang takut akan Allah SWT itu daripadanya hamba-Nya itu iaitu ulama. (Fathir 35:28)
Setengah daripada beberap hadis itu iaitu sabda Nabi as
Segala ulama itu mempusakai mereka akan anbiya. (Riwayat Abu Dawud, Tirmizi dan Ibn Hibban, Al-Iraqi)
Dan Sabda Nabi as
Yang terlebih afdhal daripada sekalian manusia itu iaitu orang Mukmin yang alim. Jika dikehendaki orang kepadanya nescaya memberi manfaat ia akan dia. Dan jika dikayakan daripadanya ) iada diperlukan) nescaya mengkayakan ia akan dirinya.
Iaitu jika orang tiada perlu daripadanya nescaya ia terkaya daripada orang lain. Dan sabda Nabi as
Yang terlebih hampir manusia daripada pangkat Nubuwwah itu iaitu ahli ilmu.
Dan sabda Nabi as
Yang memberi syafaat pada hari kiamatitu tiga, iaitu anbiya, kemudia ulama, kemudian syuhada.
Kelebihan Orang yang Menuntut Ilmu yang Memberi Manfaat
Adapun kelebihan orang yang menuntut ilmu yang memberi manfaat itu, maka sabda Nabi as
Bahawasanya malaikat merendahkan segala sayapnya bagi orang yang menuntut ilmu kerana sangat suka dengan perbuatan itu. (Riwayat Ahmad dan Ibu Hibban, Al-Iraqi)
Dan sabda Nabi as
Sesungguhnya berpagi-pagian seseorang kamu maka belajar ia akan satu bab daripada ilmu, nescaya terlebih baik daripada bahawa ia solat sunat 1000 rakaat.
Sabda Nabi as
Orang yang menuntut ilmu itu mengakui Allah SWT baginya dengan rezekinya.
(Syahdan) Kata Syeikh Ibnu 'Athailah rahimahullahu Taala di dalam kitab At-Tanwir fi Isqati at-Tadbir:
Ketahui olehmu bahawasanya ilmu yang berulang-ulang sebutannya dalam Al-Quran yang mulia ataupun dalam hadis Nabi as itu, hanyasanya dikehendaki dengan dia itu ialah ilmu yang memberi manfaat yang menyertai akan dia takut akan Allah SWT dan meliputi akan dia haibah akan Allah SWT.
Dan kata Syeikh Ibnu Abbad rahimahullahu Taala dalam Syarah Hikam:
Ketahui olehmu bahawasanya telah datang dalam al-Quran dan hadis Nabi as daripada kelebihan ilmu dan ulama, barang yang tiada terhingga banyakknya, dan tiada diharap hasil yang demikian itu melainkan bagi orang yang sah niatnya. Dan sah niatnya pada yang demikian itu adalah dengan dikehendakinya dalam menuntut ilmu yang diredhai Allah SWT, iaitu mengerjakan taat dan menjauhkan maksiat, diamalkan ilmunya yang memberi manfaat padanya, dan lagi isyarat keluar daripada kelam jahil kepada terang ilmu. Maka, itulah niat yang sahih yang dipuji atas kemudiannya itu dalam akhirat dan dapat faedahnya di dalam taat akan Allah SWT di dunia.
Dan kata Imam al-Ghazali rahimahullahu Taala pada permulaan kitab Bidayatul Hidayah:
Maka ketahui olehmu bahwasanya jika engkau berkehendak dengan menuntut ilmu itu akan bersedap-sedap dan bermegah-megah dan terdahulu atas orang yang bersama denganmu, dan supaya cenderung muka manusia kepadamu, dan menghimpunkan kekayaan dunia, nescaya engkau mengusahai pada meruntuhkan agamamu dan membinasakan dirimu dan engkau telah menjual akhiratmu dengan duniamu. Maka, penjualanmu itu rugi, perniagaanmu itu tiada laku, dan orang yang mengajar akan engkau itu menolong bagimu atas maksiat, dan menyekutui ia kan engkau di dalam kerugianmu, dan iaitu seperti menjual pedang kepada orang yang merampasnya di jalan, dan yang demikian itu adalah perbuatan maksiat. Dan barang siapa menolong akan seseorang atas berbuat maksiat, jikalau dengan setengah perkataan sekalipun maka adalah ia jadi menyekutui dalamnya.
Dan jika ada niatmu dan qasadmu (tujuanmu) antaramu dan antara Allah SWT pada menuntut ilmu itu akan mendapat hidayah, tiada semata-mata riwayat, maka sukakan olehmu kerana bahawasanya malaikat itu menghamparkan ia bagimu akan sayapnya apabila engkau berjalan, dan segala ikan di laut itu memohonkan ampun bagimu kepada Allah SWT apabila engkau berusaha di dalam menuntut ilmu itu.
Dan ketahui olehmu wahai talib (penuntut ilmu) bahawasanya bagi orang yang menuntut ilmu itu tiga perkara:
Pertama: Seseorang yang menuntut ilmu kerana jadi ilmunya itu bekal di dalam akhirat dan tiada menghendaki ia melainkan kerana Allah SWT dan negeri akhirat, maka mereka itu orang yang mendapat kemenangan di dalam duia dan akhirat, iaitu yang dinamakan mereka itu al-Muttaqin seperti firman Allah SWT:
Bahawasanya Allah SWT itu kasih akan orang yang Muttaqin. (At-Taubah 9:4)
Dan lagi firman Allah SWT:
Dan ambil oleh kamu bekal di dalam akhirat, bahawasanya yang lebih baik daripada bekal itu ialah takut akan Allah SWT. (Al-Baqarah 2:197)
Dan makna takwa itu ialah mengerjakan taat dan menjauhkan maksiat seperti yang lagi akan tersebut makna takwa itu dalam kitab ini.
Kedua: Seseorang yang menuntut ilmu kerana menolong akan kehidupannya di dalam dunia ini, dan kerana mendapat kemuliaan dan kemegahan, dan kerana dapat harta, maka mereka itu sangat jahat. Maka jika dibekalkannya akan qasadnya serta diketahuinya akan jahat kelakuannya itu, maka lalu mati ia dengan tiada taubat daripadanya itu maka mereka itu mati di dalam maksiat lagi derhaka mereka itu. Maka, jika taubat mereka itu dahulu daripada matinya, lalu diamalkannya ilmunya dengan amal yang soleh nescaya dihubungkan mereka itu dengan orang yang dapat kemenangan di dalam dunia di akhirat, kerana orang yang taubat daripada dosa itu seperti orang yang tiada berdosa. Dan dapatlah mereka itu akan keredhaan daripada Allah SWT seperti firman Allah SWT:
Bahawasanya Allah SWT kasih akan mereka yang banyak taubat kepada Allah SWT dan kasih Ia akan mereka yang bersuci daripada najis dan daripada dosa. (Al-Baqarah 2: 222)
Ketiga: Seseorang yang menuntut ilmu dan dia menjadikan ilmunya itu sebab kepada membanyakkan harta, kemegahan, dan kebesaran dan kemuliaan, dan supaya banyak orang yang mengikut akan dia dan supaya banyak orang kasih kepadanya dan supaya mudah dapat segala hajatnya, padahal mereka tiada ingat akan perbuatannya dan qasadnya yang jahat itu, kerana disangkakan akan dirinya itu hampir kepada Allah SWT, kerana ia berupa dengan rupa ulama dan berlaku seperti kelakuan ulama. Maka mereka itulah orang yang dapat binasa di akhirat dan yang sangat kurang akal mereka itu, lagi terpedaya ia akan sesat ia lagi menyesatkan orang lain. Dan mereka itulah sejahat-jahat ulama, seperti yang dikata Nabi as dengan sabdanya:
Aku lebih takut atas kamu daripada Dajjal akan seorang lain daripada Dajjal. Maka, sembah sahabat: "Siapa mereka itu ya Rasulullah?" Maka sabdanya: "Mereka itulah ulama yang jahat."
Dan sabda Nabi as
Siapa bertambah ilmunya padahal tiada bertambah hidayahnya, nescaya tiada bertambah daripada Allah SWT itu melainkan jauh.
Dan ketahui olehmu wahai talib! Bahawa hidayah dan takwa itu satu jua maknanya. Tetapi ada lagi bagi keduanya itu bidayah dan nihayah. Dari kerana inilah berkata Imam al-Ghazali rahimahullah Taala di dalam kitab Bidayatul Hidayah:
Maka jika engkau kata apa Bidayatul Hidayah (Permulaan Takwa) itu? Supaya aku cuba dengan dia pada diriku. Maka ketahui olehmu bahawasanya Bidayatul Hidayah itu zahir takwa, dan Nihayah al-Hidayah (kesudahan takwa) itu batin takwa. Dan tiada dapat syurga melainkan dengan takut akan Allah SWT. Dan tiada dapat petunjuk melainkan bagi orang yang takut akan Allah SWT.
Sesungguhnya takwa dan hidayah itu ibarat mengerjakan taat yabg disuruh Allah SWT, sama ada taat zahir ataupun taat batin, dan menjauh akan maksiat yang ditegah Allah SWT, samaada maksiat zahir ataupun batin.
Dan ketahui olehmu wahai talib! Bahawasanya murad (yang dikehendaki) dengan taat yang zahir itu, iaitu seperti solat dan puasa dan naik haji dan memberi zakat, dan sebagainya. Manakala murad dengan taat yang batin itu ialah segala sifat kepujian seperti ikhlas dan merendahkan diri dan nasihat dan zuhud dan sabar dan hilm dan tawakal, dan barang sebagainya. Dan murad dengan maksiat yang zahir itu seperti zina dan mencuri dan minum arak dan membunuh orang dan memalu orang dan memaki orang dan mengumpat orang, dan barang sebagainya. Dan murad dengan maksiat yang batin itu ialah segala sifat kecelaan seperti riyak dan ujub, takbur dan hasad dan kasih kepada dunia, dan barang sebagainya.
Sajak Kepentingan Ilmu oleh Saidina Ali kwj
Dipetik dari Ihya' Ulumiddin
Tidaklah kebanggaan selain bagi ahli ilmu
mereka memberi petunjuk kepada orang yang meminta ditunjukkan
nilai manusia adalah kebaikan yang dikerjakannya
dan orang-orang bodoh itu adalah musuh ahli ilmu
menanglah engkau dengan ilmu,hiduplah lama!
orang lain mati,ahli ilmu terus hidup...
1 Comments
ilmu adalah cahaya kehidupan
ReplyDelete