Seni Peperangan Sun Tzu
Seni peperangan Sun Tzu merupakan salah satu dari tujuh kitab klasik ketenteraan (wujing qishu) yang menjadi bahan bacaan wajib pegawai-pegawai ketenteraan China zaman imperial. Walaupun ia sebuah karya pendek, ia mempunyai kedudukan sebagai buku strategi ketenteraan terpenting dan teragung dalam sejarah China.
Nama asal Sun Tzu ialah Sun Wu. Tzu ialah gelaran hormat, seperti nama dalam nama Kong Tzu (Confucius), Meng Tzu (Mencius) dan Lao Tzu yang hidup sezaman dengannya. Tokoh-tokoh ini hidup di zaman Dinasti Zhou Timur (770-256 SM) di mana sebuah kerajaan terpusat masih belum wujud dan China berpecah kepada berpulu-puluh Zhuhouguo, yakni negara yang memberi taat setia kepada Raja Zhou tetapi mempunyai autonomi penuh dalam urusan pentadbiran.
Apa yang membezakan Seni Peperangan Sun Tzu daripada buku-buku pemikir strategi ketenteraan Eropah seperti Antonie-Henri Jomini dan Carl von Clausewitz ialah penekanannya kepada penggunaan kekuatan yang minima. Sun Tzu sentiasa mengganggap kemenangan terbaik adalah kemenangan yang dicapai tanpa berperang.
Sekiranya berperang, Sun Tzu ingin memastikan perang tidak berlarutan lama. Hakikat Wu sebagai sebuah negara kecil banyak mempengaruhi Sun Tzu untuk menggubal strategi yang paling efisen untuk mencapai kesan yang paling optimum.
Sun Tzu juga menekankan aspek tipu helah (baca dalam bab pertama) dan penggunaan pengintipan. Nampak seolah-olah SunTzu seorang yang tidak beretika, namun bagi Sun Tzu, taktik-taktik ini penting bagi menamatkan perang dan meminimakan kerosakan yang dibawa oleh peperangan yang berlarutan lama.
Ungkapan dalam Seni Peperangan Sun Tzu berbentuk ringkas dan padu, penuh dengan kebijaksanaan. Oleh kerana itu, strategi peperangan Sun Tzu turut menarik minat orang di luar bidang ketenteraan. Prinsip-prinsip peperangan Sun Tzu diaplikasi secara meluas dalam bidang politik malah dalam bidang perniagaan.
Boleh dapatkan naskah ini di @bookunia
0 Comments