Kitab Tamadun Islam by Ibn Jawi

By Friday, September 11, 2020 ,

Kelahiran Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan sesuatu bukti bahawa telah lahirnya sebuah peradaban yang agung.


Buku Kitab Tamadun Islam ini mengandungi 12 bab yang merangkumi sejarah ketamadunan manusia sejak Nabi Adam sehingga kedatangan Imam Mahdi. 12 bab ini merupakan hal-hal asas yang amat perlu diketahui oleh seseorang jika ingin mengenali Islam secara terperinci. Buku ini berkisarkan perseteruan dan dendam azazil (iblis) kepada umat manusia yang terus diwarisi sehinggalah zaman kemunculan dajal. Buku ini terbahagi kepada 2 bahagian utama.

Terdapat 6 bab pada bahagian pertama, iaitu;

1. Kelahiran Islam
2. Nabi Muhammad
3. Khulafa al-Rasyidin
4. Bani Umaiyah
5. Bani Abbasiyah
6. Turki Uthmaniyah

Pada bab pertama, penulis menerangkan tentang sejarah tamadun kemanusiaan sejak zaman Nabi Adam. Penulis juga menerangkan tentang sejarah bangsa-bangsa serta agama-agama yang terdapat di atas muka bumi ini secara umum. Objektif bab pertama ini adalah untuk menerangkan mengenai hakikat kewujudan Islam dari segi masa kemunculannya yang sering disalah erti oleh orang ramai.

Pada bab kedua, penulis menerangkan tentang riwayat hidup Nabi Muhammad SAW. Penulis hanya mencatatkan peristiwa-peristiwa penting yang dilalui oleh Rasulullah SAW sebagai sebuah jalan cerita mengikut kronologinya. Objektif bab kedua ini adalah untuk menerapkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW serta meneladani watak dan mengambil iktibah melalui kisah hidup Baginda.

Pada bab ketiga, penulis menerangkan tentang sejarah hidup 4 khulafa al-Rasyidin secara ringkas dan umum. Objektif bab ketiga ini adalah untuk memberikan gambaran secara umum mengenai perkembangan Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Bab ini juga bertujuan untuk meluruskan semula fakta sejarah yang selama ini cuba diselewengkan oleh golongan tertentu demi kepentingan komuniti sendiri. Penulis sedaya upaya membersihkan kembali imej para sahabat dan keturunan Rasulullah SAW yang selama ini ditohmah dengan pelbagai fitnah.

Pada bab keempat, kelima dan keenam menerangkan tentang peradaban Islam yang telah mewarnai sejarah kemanusiaan sejak berkurun lamanya. Peradaban Islam banyak memberi nafas baharu kepada manusia di seluruh dunia dalam menjalani kehidupan yang bertamadun. Pelbagai kecemerlangan dan kegemilangan yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh Muslim tidak dapat disangkal lagi. Objektif bab keempat, kelima dan keenam ialah sebagai bukti kecintaan serta kerinduan penulis terhadap kejayaan yang pernah dikecapi oleh umat Islam. Semoga bab ini menjadi inspirasi bagi umat Islam untuk mengesuai semula dunia ini.

Terdapat 6 bab pada bahagian kedua, iaitu;

7. Akidah Ahli Sunah Waljamaah
8. Mazhab Fiqh Imam Empat
9. Tasawuf
10. Firqah Dhalalah Klasik
11. Wahabi
12. Rukun Kebangkitan


Pada bab ketujuh, penulis menerangkan tentang akidah manhaj Rasulullah SAW iaitu Ahli Sunnah Waljamaah. Sesungguhnya, akidah ini telah diserang dari segenap penjuru oleh musuh-musuh Islam bagi melenyapkan Nur Allah di muka bumi ini. Terdapat segelintir umat Islam sejak dahulu hingga kini yang menganut ajaran sesat dan menyimpang daripada kebenaran sejati. Oleh itu, amatlah penting bagi menegakkan semula akidah yang hak ini agar tidak lagi dipijak-pijak oleh orang yang jahil dan munafik. 

Pada bab kelapan, penulis menceritakan tentang mazhab Imam Empat. Perbincangan ini dilihat penting bagi menghilangkan kekeliruan yang sering hinggap dalam sanubari masyarakat awam mengenai institusi ulama dan peranan mereka dalam memelihara ketertinggian agama Islam. Masyarakat awam sepatutnya menyedari ketinggian darjat para ulama rabbani dan tidak sewenang-wenangnya memandang mereka dengan pandangan yang rendah. Perkara utama  yang ingin penulis sampaikan adalah mengenai faktor perbezaan pandangan antara ulama mujtahidin serta perbezaan antara hal furuk dengan usul. Maka masyarakat awam tidak akan mendabik dada berbicara mengenai hal ehwal agama seolah-olah ilmu mereka setaraf para ulama.

Pada bab kesembilan, penulis menceritakan tentang pengenalan ilmu tasawuf iaitu hanya sekadar pada permukaannyasahaja. Penulis menceritakan hal ini secara umum adalah supaya sekurang-kurangnya masayrakat awam dapat mengenal semula salah satu daripada tiga rukun agama yang kini kian dipandang sepi oleh umat Islam.

Pada bab kesepuluh, penulis membahaskan tentang fahaman-fahaman dhalalah (sesat) yang wujud pada zaman klasik. Sebahagian daripda doktrin fahaman tersebut masih lagi kekal wujud sehingga ke hari ini. Terkadang fahaman sesat tersebut meresap masuk ke dalam pegangan kaum Muslimin Ahli Sunah Waljamaah secara tidak sedar kerana kejahilan diri sendiri. Penulis menggariskan beberapa contoh kesesatan dan sejarah wujudnya fahaman ini. Bab ini bukanlah untuk mempopular doktrin ajaran sesat, tetapi untuk para pembaca mengetahui perbezaan antara hak dengan batil seterusnya dapat melindungi diri daripada terjebak ke dalam kesesatan untuk mengelak daripadanya.

Pada bab kesebelas, penulis menceritakan tentang fahaman Wahabi yang semakin berkembang dalam masayarakat awam. Ia merupakan fahaman sesat pada zaman . Bab ini memaparkan sejarah terbinanya empayar fahaman Wahabi dan ciri-ciri penyelewengannya. Fahaman Wahabi yang mudah menyusup ke dalam pemikiran masyarakat awam terutamanya muda-mudi adalah kerana golongan penyebar fahaman Wahabi yang sering menyamar sebagai seorang yang alim dan petah berbicara lalu menyebarkan kekeliruan kepada penganut Ahli Sunah Waljamaah dari dalam. Anak muda yang taksub akan populariti dan pujian amat mudah terpengaruh dengan fahaman Wahabi kerana fahaman ini menanamkan sifat hanya mempelajari agama secara ala kadar sahaja lalu mengkritik kredibiliti para ulama silam. Diharap agar hal ini dapat menghindarkan pembaca daripada terjerumus ke lembah penyelewengan fahaman Wahabi.

Pada bab kedua belas, penulis menceritakan sedikit episod keaadaan akhir zaman yang terakam dalam hadis Rasulullah SAW lalu diolah dalam sebuah jalan cerita secara umum dan rawak. Penulis menceritakan perihal tersebut melalui kajian penulis terhadap keadaan politik dunia semasa dengan menggunakan bahasa kiasan. Inti pati yang ingin disampaikan adalah berkaitan gambaran fitnah-fitnah dajal yang amat dasyat. Oleh itu, penulis menggariskan suatu hal yang disebut sebagai "Rukun Kebangkitan" sebagai dasar perjuangan umat Islam akhir zaman bagi menempuh kesukaran dunia kini.

Boleh dapatkan naskah ini di @bookunia 

You Might Also Like

0 Comments